Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Februari. - Orang ramai berpeluang menikmati pengalaman menjamu selera bertemakan Arab yang unik menerusi Acara 1001 Malam Arab yang Penuh Mistikal : Pengalaman Kulinari bersama Chef Ammar (1001 Mystical Arabian Night with Chef Ammar) yang berlangsung dari 25 Februari hingga 11 Mac 2026 di Open Plaza, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).
Acara berprestij ini menampilkan cef bertaraf antarabangsa, Chef Ammar, dengan konsep makan dalam khemah berinspirasikan suasana Arab yang pertama seumpamanya di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sehubungan itu, Majlis Pelancarannya disempurnakan bersama oleh tetamu-tetamu khas, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman, selaku Penasihat Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Penasihat Perbadanan TAIB.
Juga hadir, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Sepanjang acara ini berlangsung, pengunjung bakal disajikan hidangan autentik Timur Tengah dalam suasana malam penuh mistik, sekali gus mewujudkan pengalaman gastronomi yang berbeza di tengah-tengah ibu negara.
Selain menawarkan pilihan makan di lokasi (dine-in), acara ini turut menyediakan perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran melalui aplikasi DST serta GoMamam, bagi memudahkan orang ramai menikmati sajian yang disediakan.
Lebih daripada sekadar acara kulinari, inisiatif ini turut memberi penekanan kepada pembangunan bakat tempatan. Kira-kira 80 peratus tenaga kerja yang terlibat, merangkumi pasukan perkhidmatan dan dapur, terdiri daripada anak tempatan.
Chef Ammar juga akan mengendalikan sesi latihan kulinari dan perkhidmatan secara berstruktur kepada pekerja tempatan sebagai usaha perkongsian ilmu bagi memperkukuh industri hospitaliti dan makanan dan minuman (F&B) negara.
Sebagai sebahagian daripada kempen Taste of Brunei, acara ini direka sebagai perhimpunan mesra keluarga dan berteraskan komuniti yang mencerminkan nilai kebersamaan, kemurahan hati dan berkongsi kegembiraan.
Gabungan keunikan gastronomi dengan suasana damai serta latar budaya ibu kota dijangka menarik kehadiran penduduk tempatan dan pelancong serantau untuk merasai sendiri kehangatan hospitaliti tempatan.
Acara berkenaan dianjurkan oleh KWB Sdn. Bhd. dengan kerjasama PAR Food & Beverage Sdn. Bhd. serta KiddieWhoops Company sebagai rakan sokongan strategik, dan berkolaborasi bersama Kompleks YSHHB.
Ia turut mendapat sokongan TAIB Group termasuk TAIB, Insurans Islam TAIB, Darussalam Holdings dan TAIB Filling Station; DST; BYD | DENZA oleh Maju Motors; Royal Brunei Airlines; Waqqas Trading Company serta Ideal.
Menurut Pengarah Urusan KWB Sdn. Bhd., Awang Haji Suhaimi bin Pehin Orang Kaya Laila Utama Dato Paduka Haji Awang Haji Jaya, acara ini menandakan satu pencapaian penting dalam industri penganjuran acara di negara ini dengan memperkenalkan konsep santapan bertemakan Arab yang tersendiri sambil memupuk bakat tempatan dan memperkukuh keupayaan industri.
“Melalui 1001 Mystical Arabian Night with Chef Ammar, kami bukan sahaja ingin menawarkan pengalaman menjamu selera yang tidak dapat dilupakan, malah memberi peluang memperkasa bakat tempatan serta mewujudkan ruang yang mesra untuk keluarga dan pengunjung," jelas beliau.
Orang ramai adalah dialu-alukan ke 1001 Mystical Arabian Night with Chef Ammar bermula pukul 2.30 petang setiap hari, manakala perkhidmatan sungkai bermula pukul 6.00 petang.